Thursday, July 8, 2010

H

1. Hati jantung manusia itu manakala habis dan kering kasih sayangnya, dia akan merupakan kaca pecah yang tidak mungkin dipertautkan kembali (Syair)

2. Hening adalah menajamkan fikiran. Sunyi itu menyuruh berfikir, berfikir itu pangkal kehidupan.

3. Hendaklah berfikir dua kali sebelum berbicara kerana telinga dua dan lidah hanya satu. Orang bijaksana selalu berlidah di hati, sedangkan orang jahil berhati-lidah. Kerana itu, yang berkata hati bukannya lidah. Orang sedang marah yang berkata bibirnya, bukan hatinya. Berfikir itu pangkal kemanusiaan. Berfikir itulah kelebihan manusia dari binatang.

4. Hidup dalam pelayaran yang jauh untuk menuju ke akhirat, kerana itu:

a. Perkuat sampan, tampal mana yang bolong

b. Peringan beban

c. Perbanyak bekalan

d. Segala pekerjaan dengan ikhlas

5. Harta itu baru memberi manfaat apabila terpegang oleh orang yang berpengetahuan. Wang sama dengan pasir, kalau telah dibelanjakan kepada yang berfaedah baru ada harganya.

6. Hairan kita pada sesetengah manusia diberi pinjam barang sesuatu tidak mahu mengembalikan dan kalau tidak dipinjamkan dia marah. Kalau kita lupa mengambil dengan sendiri menjadi miliknya.

7. Hendaklah memperhatikan dan mendidik diri sendiri, membersihkan rohani dari segala macam syahwat dan tabiat-tabiat kurang baik. Setelah itu akan dapatlah kita menerima ilmu dan hikmat.

8. Hakikat iman, dua yang selalu diingat:

a. Pertolongan orang lain dan nikmat Tuhan kepada kita

b. Kejahatan kita pada orang lain

Dan dua yang selalu dilupakan:

a. Kejahatan orang kepada kita

b. Pertolongan kita pada orang lain

9. Hari ini berlari cepat seperti kuda yang talinya terlepas. Waktu yang baik itu lari sebagai kencangnya awan. Mensia-siakan waktu yang baik itu suatu kerugian dan penyesalan.

10. Hidup tiada berilmu ibarat sampan yang tidak berkemudi. Orang yangtidak menambah ilmunya bererti kalah dalam perjuangan hidup.

11. Hati sama dengan pisau. Pengetahuan sama dengan batu asahan. Apabila pisau tidak diasah dengan batu asahan tentu pisau akan tumpul dan berkarat. Orang yang tidak mahu menjadi murid tidak pula akan menjadi guru.

12. Hilang nikmat kerana tidak bersyukur, hilang kekuatan kerana bermusuh, hilang kekuasaan kerana lalai, hilang pengaruh kerana lemah.

13. Hendaklah anda tersenyum dalam kecelakaan, tenang dapat keuntungan, sopan santun dalam amarah, lurus dalam miskin, penolong dalam bekerja dan berani dalam berperang.

14. Hanya dengan hati sabar dan kasih sayang maka pengajaran kita masuk dengan mudah di dalam sanubari anak.

15. Harus ikhtiarkan anak anda mempunyai malu bukan pemalu. Sebab mempunyai malu wajib tiap-tiap manusia. Seseorang yang telah hilang malunya boleh dikatakan telah hilang kemanusiaannya.

16. Hati manusia itu umpama biola, tergantung kepada orang yang memegangnya. Jika dia pandai menggesekkannya timbullah daripadanya lagu yang merdu.

17. Hendak tahu jiwa seseorang lihatlah kawan-kawannya atau dengan siapa dia berkawan. Hidup manusia hanya 15% bergantung kepada diploma(didikan) dan 85% bergantung kepada pergaulan.

18. Hakikat buta bukanlah buta mata tetapi buta hati. Hakikat miskin bukanlah miskin harta tetapi miskin budi. Harga manusia itu ialah menurut budi.

19. Habis bisa kerana biasa, hilang geli kerana gelitik. Kebiasaan itu wet alam yang kedua. Sesuatu pekerjaan yang berat apabila telah dikerjakan dengan berulang kali dia merasa ringan akhirnya menjadi kebiasaan dan menarik.

20. Hidup tanpa pujian adalah hidup yang kosong. Pujian yang sewajarnya adalah anak kunci hati manusia.

21. Hargailah orang rendah. Ketahuilah bahawa sutera adalah dari ulat.

22. Hendaklah kita redha menerima apa-apa yang diberikan Allah. Anda akan menjadi manusia yang terkaya di dunia ini.

23. Hina besi kerana karat, hina manusia kerana tidak berilmu.

24. Hidup penuh dengan perjuangan dan kesulitan hidup yang mungkin tidak henti-hentinya. Semuanya silih berganti, kesulitan yang satu disusuli kesulitan yang lain.

G

1. Gunakanlah bakat anda dengan setia, maka bakat itu akan bertambah. Praktikkan apa yang anda ketahui, maka anda akan mendapat pengetahuan yang lebih tinggi (Cicero)

2. Gelap pada lima:

a. Gelap kerana hari malam

b. Gelap mata kerana buta

c. Gelap otak kerana tidak berpengetahuan

d. Gelap hati kerana tidak beragama

e. Gelap penghidupan kerana kandas ekonomi

3. Gagalnya usaha itu sekali-kali tidak memburukkan kita asal dikerjakan dengan ikhlas. Kejadian yang telah berlalu baru ada faedahnya kalau ia menunjukkan jalan dan alat untuk maju.

4. Gunakan waktu sebaik-baiknya kerana masing-masing kita hanya satu kali melaluinya


F

1. Fitrahnya setiap manusia, adalah bersih dan murni (Fatwa Ibn Adz bin Jabal, sahabat Rasulullah S.A.W)

a. Menuntut pengetahuan sama dengan IBADAT

b. Memperkatakannya sama dengan TASBIH

c. Menyelidikinya sama dengan BERJIHAD

d. Mengajarkannya sama dengan SEDEKAH

e. Berfikir tentangnya sama dengan PUASA

f. Menyelidiki ilmu agama sama dengan SEMBAHYANG MALAM

g. Menunjukkan pada keluarga sama dengan MENYEMBELIH KERBAU