Sunday, November 18, 2007

D

1. Dasar hidup kita, jangan hidup sebagai kiambang, menjulang ke atas tidak ada kekuatan ke bawah. (Drs. Hatta).

2. Dari satu benih pohon jati bisa tumbuh hutan-hutan. (Emerson).

3. Dirikanlah takhta yang esa setiap hari atas terus terang kemelaratanmu dan ketahuilah kebesaran zahir maya semata dan keangkuhan bersifat fana. (Rabindranath Tagore).

4. Diamankan dunia: a. Adilnya pemimpin; b. Ilmunya ulama; c. Pemurahnya orang kaya; d. Doanya orang yang taat; e. Memegang amanatnya saudagar; f. Dinamik aktivitasnya pemuda. Dan pemuda hendaklah mempunyai jiwa singa, jiwa dinamis dan jiwa produktif.

5. Di sawah cangkul berlebih, waktu makan, piring tidak mencukupi. Kalau makan tebu hendak sebelah ke pangkal, tetapi menyandang betung hendaklah ke hujung. Terhimpit hendak di atas, terkurung hendak di luar. Membeli mahu seharga ubi, tetapi makan hendak roti.

6. Dalam kehidupan ini yang selalu kita jumpai susah dan senang yang silih berganti. Lepas dari kesusahan datang kesulitan yang lain. Kesenangan itu terletak antara dua kesusahan dan kesusahan itu terletak antara dua kesenangan. Ada kenikmatan yang dibungkus dengan kesenangan. Di samping kesulitan ada kelapangan. Yang buruk itu ada faedahnya dan yang baik itu ada pula celakanya. Kalau rahmat sudah datang, maka sekalian bahaya yang ada pada anda jadi bahagia.

7. Di mana kemewahan telah dijadikan dasar dari penghidupan satu bangsa di sana telah tersurat kejatuhan bangsa itu. Jangan tertipu dalam kesenangan dan gelisah sewaktu kesusahan. Bersukacita kerana kesukaran yang kecil perlu bagi manusia inilah sifat orang kaya hati. Tetapi anak yang selalu diberi kehendaknya miskinlah jiwanya.

8. Dalam penghidupan anda akan diuji dengan lima cubaan: a. Dengan kecemasan; b. Dengan kelaparan; c. Kekurangan harta benda; d. Kebinasaan diri; e. Kerosakan tanaman.

9. Dengan perjuangan yang tidak mengenal susah dan payah, tak mengenal sakit dan senang, dapat memuliakan diri seseorang. Gagal dalam kemuliaan lebih baik dari menang dalam kehinaan. Hidup ertinya berjuang kalau tidak berjuang ertinya tidak hidup. Dunia ini adalah medan pengujian, manakah manusia sejati dan manakah yang palsu.

10. Dalam penghidupan, berjalan lurus berkata benar kerana tidak ada salah yang tidak ditimbang dan hutang yang tidak dibayar. Yang bongkok dimakan sarung, tidak ada busuk yang tidak berbau, bengkak yang tidak meletus. Yang benar akan tegak yang batil akan tumbang.

11. Di dunia ini lebih mudah membuat kebaikan dari kejahatan. Tetapi manusia lebih condong mebuat kejahatan dari kebaikan. Sebabnya nafsu lebih tua umurnya dari akal, iblis lebih tua umurnya dari manusia. Sedang manusia dikepung oleh empat penjuru musuh, kiri hawa, di kanan nafsu, di muka dunia, di belakang syaitan yang menunda ke muka. Tubuh dan dunia dalam kekotoran kerana itu perlu pengetahuan dan keimanan serta bersihkan jiwa.

12. Damai yang ada di hati manusia akan menimbulkan damai di muka bumi, kejahatan yang ada di hati mengakibatkan kacaunya masyarakat. Hati yang beriman akan menimbulkan perasaan dan akhlak yang tinggi. Kayuhlah biduk anda tetapi jangan halangi biduk orang yang lain.

13. Dalam berfikir, berbicara dan berbuat hendaklah kita memperlihatkan kepentingan orang lain.

14. Dengki itu sebagai karat besi yang semakin lama semakin memakan diri. Hasrat itu memakan segala kebajikan sebagaimana api memakan segala kayu bakar yang kering. (Hadis).

15. Di dalam kegelapan dan kesusahan itu tersembunyi pengalaman, rahsia hidup dan nasihat-nasihat kebijaksanaan yang berharga. Orang banyak percubaannya maka ilmunya akan bertambah-tambah.

16. Daripada ada berpendapat besar tetapi mengekor lebih baik berpendapat kecil dengan tegak sendiri. Rezeki musang tidak akan dapat pada helang.

17. Di antara sifat orang-orang yang bebudi: a. Menahan perasaan adalah satu pengorbanan yang terbesar; b. Cubalah tidak sukacita sewaktu tertawa, dan tidak berduka tatkala menangis.

18. Dalam masyarakat tampaknya segenggam wang lebih kuat dari dua genggam kebenaran, kerana bila wang bersuara kebenaran diam.

19. Dunia ini untuk kegembiraan tetapi kegembiraan tetapi kegembiraan itu dibungkus dengan kesusahan hidup. Dunia jambatan yang tidak kekal untuk dilalui ke negeri yang kekal.

20. Di mana tiada helang, kata belalang akukan helang. Jarang sekali bahawa helang itu akan melepaskan anak ayam dari kukunya.

21. Di mana ada kemahuan, di sana ada jalan. Di mana ada kesulitan, di sana ada kelapangan.

22. Dalam kesusahan; emas juga kelihatannya tidak bercahaya dan dalam keberuntungan besi pun kelihatan mengilap.

23. Dari kesusahan itu akan diperdapat kesenangan. Sebab durian berduri lantaran enak isinya, kulit manggis pahit sebab manis di dalamnya, bunga ros berduri lantaran harumnya. Siapa membelah ruyung akan dapat sagunya.

24. Diam membawa selamat, santun membawa kemuliaan, dermawan membawa kebahagiaan, syukur membawa tambahan.

25. Dengan tidak terasa kita diserang umur tua kerana jam, hari, bulan, dan tahun lewat sebagai bayangan. Semakin bertambah hari bulan bukanlah umur bertambah panjang, tetapi umur semakin pendek dan semakin dekat dengan pintu kubur.

26. Dari satu kesalahan kalau anda tidak sabar, jatuh lagi pada tiga lain kesusahan, dalam kesusahan jangan lupa pengharapan dan dalam kesenangan jangan lupa tujuan.

27. Dalam pertandingan sepak bola kerap kali kemenangan direbut pada saat lima minit lagi pertandingan akan selesai.

28. Dengan perkataan terbuka pintu syurga, dengan perkataan juga terbuka pintu neraka. Yang paling manis bukan gulam tetapi lidah. Dan yang paling pahit bukan hempedu tetapi juga lidah. Perkataan yang manis seperti santan dengan tengguli, dan perkataan yang tajam seperti ali pencungkil duri.

29. Delapan yang menyebabkan muka bercahaya: a. Kesihatan terjaga; b. Kegembiraan; c. Sinar pengetahuan; d. Kesucian batin; e. Kekuatan keimanan; f. Tidak banyak dosa; g. Hidup optimis; h. Berani dan sabar.

30. Damai dan rukunnya rumahtangga: a. Mendalami ilmu agama; b. Akhlak yang tinggi; c. Pergaulan yang harmonis; d. Hemat dalam rumahtangga; e. Menyelidiki kesalahan sendiri.

31. Dunia ini seperti roda pedati, kesusahan dengan kesenangan silih berganti. Kesulitan itu hanya sebentar, kesenangan itu hanya sekejap.

32. Dunia ini diperoleh bagi orang yang berusaha keras, bagi orang pemalas tertutup.

33. Dunia ini penuh dengan beraneka kesusahan, orang takwa tidak akan susah sebagaimana ikan tidak masin yang tinggal di air laut yang sangat masin.

34. Dari kesusahan dapat pengalaman, dari kesalahan dapat kesempurnaan, dari kesilapan dapat kesedaran.

35. Dunia ini sebagai minum air laut, semakin diminum semakin haus, akhirnya mati dalam kehausan. (S. Ali).

36. Dimanapun bangkai disembunyikan pada saatnya pasti tercium juga.

No comments: